Membasmi wabak buta sastera - Mohamad Saleeh Rahamad

Suatu hakikat yang terpaksa diterima oleh pejuang sastera Melayu sekarang ialah semakin pudarnya kecintaan masyarakat terhadap sastera Melayu. Jika ada pun layanan dan sambutan rasmi terhadap sastera Melayu, sama ada oleh ahli politik mahupun oleh agensi kerajaan melalui kementerian tertentu dalam pelaksanaan dasarnya, bukan semuanya dilakukan dengan penuh iltizam dan ikhlas. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan besar pemimpin politik Melayu berdepan dengan masalah tunasastera (buta sastera) sehingga gagal untuk melihat hubungan martabat bangsa dengan hasil cipta sastera bangsanya.
Penyakit itu mengakibatkan mereka hanya menunjukkan kecintaan kepada sastera Melayu (sastera Inggeris lain halnya kerana dianggap sebagai lambang prestij!) apabila pemimpin tertinggi negara menunjukkan minat terhadap sastera dalam majlis rasmi, dan bersuara mendeklamasikan sajak, sekurang-kurangnya. Ketika Perdana Menteri membaca sajak dalam majlis tertentu, akan ramailah juak politikus atau tokoh korporat Melayu yang turut menunjukkan bakat kesasterawanannya, tetapi jika mereka diminta membantu usaha melestarikan sastera Melayu dalam program yang lain, sukar sekali sokongan material mahupun moral daripada mereka dapat diraih. Inilah penyakit personaliti pemimpin yang tunasastera. Untuk mengangkat kedudukan sastera Melayu dalam sistem pendidikan dan program pembinaan sahsiah bukanlah satu usaha yang mudah jika tidak dibantu oleh political will yang ampuh.
Semuanya memerlukan paksaan, misalnya melalui Kementerian Pelajaran yang memasukkan Komponen Sastera dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), walaupun dalam slot yang terbatas. Jika tiada daya usaha menteri yang berpengaruh, usaha memartabatkan sastera Melayu di sekolah tidak mungkin berlaku kerana masing-masing pihak yang setia memegang ?kuasa? tidak berani untuk membuka langkah mendahului ketuanya demi mengangkat sastera Melayu. Dari segi ini sememangnya daya usaha Datuk Seri Najib Tun Razak menerima pakai saranan pejuang bahasa dan sastera Melayu untuk mewajibkan sastera disusupkan ke dalam subjek Bahasa Melayu dan ke dalam jadual PLKN wajar disanjung tinggi.
Tanpa ketegasan seperti itu, sastera Melayu akan kontang khalayak dalam masa yang singkat. Ini dapat dilihat dalam konteks yang terdekat apabila sekolah-sekolah menengah di seluruh negara sangat langka dalam menyediakan kelas yang menawarkan subjek elektif Kesusasteraan Melayu. Bagi sebahagian besar guru, termasuk pengetuanya, kelas sastera terletak di bahagian corot, tidak berseri, dan tidak mendatangkan kemuliaan pada sekolahnya, malah menghinakan. Ini satu lagi sindrom penyakit tunasastera.
Kekontangan
Namun demikian, menyalahkan para pemimpin besar pun bukanlah satu tindakan yang dapat menyelesaikan masalah kekontangan khalayak sastera Melayu. Para penulis sendiri seharusnya melakukan introspeksi diri sama ada mereka sudah berjaya atau belum dalam meyakinkan khalayak tentang pentingnya hasil cipta sastera mereka diberi nilaian yang tinggi. Amat tidak wajar juga sekiranya kita bersungguh-sungguh memaksa khalayak membeli produk kita sedangkan mutunya rendah atau tidak menepati selera khalayak yang berlainan cita rasanya. Dalam hubungan ini ada dua hal yang memerlukan muhasabah semula: pertama, mutu karya pengarang Melayu mutakhir tidak bagus; kedua, sastera (berbahasa) Melayu sangat bersifat Melayu sentrik sehingga menjauhkan khalayak bukan Melayu. Dalam perkembangan mutakhir, memanglah telah ramai penulis novel menjadi kaya raya melalui penulisan, khususnya novel berunsur cinta, tetapi itu cuma satu fenomena sementara.
Banyak faktor yang menentukan keadaan itu, seperti semakin berkembangnya khalayak sastera berselera rendah, dan akibat daripada persekitaran sosial yang sedang membina masyarakat kurang berfikir melalui peralatan kapitalis (capitalist apparatuses) yang semakin rakus melebarkan jaringan mangsanya. Tetapi dari segi lain, tanpa memperhitungkan jumlah jualan sebagai kayu ukur penentu sastera bermutu, terpaksa juga diterima hakikat bahawa penulis mutakhir gagal melahirkan karya yang bermutu.
Hingga kini kita masih bergantung pada penulis mapan seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Anwar Ridhwan dan Arena Wati dalam menyediakan wacana kreatif yang memukau. Kecuali segelintir nama penulis muda dalam bidang puisi dan cerpen, seperti Faisal Tehrani, S. M. Zakir, dan Zainal Rashid Ahmad, kemunculan penulis novel yang berbakat besar belum kelihatan di Malaysia. Sebagai bukti, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2000-2001 tidak memperakukan sebarang novel untuk diberi hadiah, manakala pada tahun 2002-2003 karya Shahnon Ahmad sekali lagi terpilih. Sejak awal tahun 1970-an, Shahnon sudah memegang teraju pemenang dalam Hadiah Karya Sastera melalui novel Srengenge dan sehingga awal abad ke-21, dia masih diakui mempunyai bisa. Dalam pengalaman menghakimi karya sastera sama ada melalui sayembara mahupun melalui penilaian terhadap karya-karya yang sudah terbit, sebenarnya sukar sekali untuk mendapatkan karya yang benar-benar kuat, terutama daripada penulis generasi baharu. Malahan daripada penulis yang sudah veteran sekalipun, karyanya tidak lagi bermaya atau sudah ketinggalan zaman.
Biarpun ada percubaan untuk meneroka teknik baharu dan aliran pascamoden yang filosifikal dan provokatif, kesannya tidak mampu memenuhi nilaitara sebuah karya yang ?besar?. Memang benar, soal karya ?besar? adalah subjektif, tetapi setidak-tidaknya keputusan dan penemuan secara kolektif dapat dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan dakwaan ini. Ada ketikanya usaha mencari karya yang benar-benar kuat dalam proses penghakiman ibarat mencari semut hitam di atas batu hitam pada malam yang tidak berbintang! Jadi, jangan dipersalahkan khalayak jika karya sastera Melayu tidak dibanggai dan dihormati oleh khalayak. Dalam persoalan yang kedua, sastera Melayu dikatakan sangat kuat sifat Melayu sentriknya, dan ini merenggangkan hubungannya dengan khalayak bukan Melayu.
Kecuali beberapa penggemar sastera (yang mungkin berpura-pura memberikan kenyataan positif), ada kajian empirikal yang menemukan dapatan bahawa persepsi khalayak bukan Melayu terhadap sastera Melayu adalah negatif. Mereka tidak dapat menerima karya yang bersifat Melayu sentrik kerana mereka juga mempunyai perasaan dan persepsi tersendiri. Paksaan hanya menimbulkan masalah yang lebih besar. Misalnya, apabila novel Mereka Yang Tertewas terpilih sebagai teks sastera SPM, pelajar bukan Islam tidak dapat menerimanya kerana novel itu jelas bersifat Islam sentrik.
Akur
Mahu atau tidak, kita terpaksa akur bahawa masyarakat Malaysia berbilang etnik dan kepercayaan. Demikian juga halnya dengan ketetapan ciri Dasar Kesusasteraan Nasional, satu idea yang konsensus dan selari dengan dasar-dasar lain yang termaktub dalam Perlembagaan yang sangat diperlukan sekarang. Meskipun begitu, penerimaan atau sekurang-kurangnya suara golongan bukan Melayu, khususnya etnik marginal, perlu diambil kira supaya ketetapan itu nanti dapat berfungsi dengan lancar demi natijah akhirnya mewujudkan perpaduan dan membina sebuah negara bangsa.
Masalah ini adalah besar dan perlu dilihat semula lebih-lebih lagi apabila satu dasar tentang kesusasteraan nasional hendak dibina secara rasmi. Suara golongan marginal (etnik lain dan comprador) sudah lama kedengaran tentang perlunya Kesusasteraan Nasional turut menerima karya sastera dalam bahasa etnik, seperti misalnya yang tercetus dalam Persidangan Penulis-penulis Malaya di Singapura pada 1962. Ketika itu perwakilan penulis Cina dan Tamil berpendapat bahawa sastera Malaya yang menggambarkan kehidupan masyarakat Malaya dan ditulis dalam bahasa yang digunakan di Malaya wajar diterima sebagai ?Sastera Malaya?, istilah pada waktu itu yang sama dengan Kesusasteraan nasional yang kita bincangkan sekarang.
Dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya pada 16-20 Ogos 1971, Lloyd Fernando menerima bahasa Malaysia sebagai ukuran bagi menentukan kesusasteraan kebangsaan. Begitu juga pendapat Mohd. Taib Osman, Syed Mohamed Naquib al-Attas dan Ismail Hussein. Tetapi hingga sekarang konsep Kesusasteraan Nasional masih kekal sebagai gagasan semata-mata. Ia belum menjadi konkrit sebagai dasar yang termaktub dalam Perlembagaan. Tentunya semakin lama semakin banyak timbul pandangan daripada pelbagai kaum yang jika tidak diambil ketetapan sebagai satu dasar akan merumitkan usaha memartabatkan kesusasteraan kita. Kita mahu satu dasar yang kukuh dan mampu menjana perkembangan sastera nasional sehingga membuahkan natijah positif di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Dengan wujudnya satu kesepakatan, ruang sastera nasional untuk bergerak dan berkembang akan lebih besar.
- Mohamad Saleeh Rahamad ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.




reff : http://mindasastera.blogspot.com/2007/05/membasmi-wabak-buta-sastera-mohamad.html


Video yang berkaitan dengan Membasmi wabak buta sastera - Mohamad Saleeh Rahamad


Related Post

Previous
Next Post »